Monday 28 September 2015

PSLE hampir tiba!

Peperiksaan PSLE hampir tiba. Pelajar-pelajar diharapkan sedang sibuk mengulangkaji pelajaran. 

Saya juga sedang sibuk menyemak segala tugasan yang diberikan kepada pelajar-pelajar. Saya berharap segala ajaran yang diberikan dapat dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar saya.

Kucing saya yang comel ini juga sibuk mahu menyemak tugasan pelajar-pelajar saya. Alahai...



Saturday 12 September 2015

Aktiviti Berenang Selama Cuti Seminggu!

Alhamdulillah, saya telah beriadah bersama anak-anak saya sepanjang cuti seminggu bulan September ini. Bermula pada hari Ahad yang lalu sehinggalah hari ini, saya telah berenang bersama anak-anak saya. 


Senaman renang adalah suatu perkara yang mudah. Malah banyak faedah-faedah yang dapat kita raih dengan berenang. Saya bukan sahaja beriadah bersama keluarga dan mengeratkan hubungan keluarga. Malah akiviti renang ini dapat menurunkan berat badan, menguatkan jantung, meningkatkan stamina, meningkatkan pengaliran oksigen di dalam badan dan otak. Berenang juga boleh dijadikan sebagai terapi tubuh daripada penyakit tulang belakang.

Saya pernah terbaca di sebuah artikel yang mengatakan berenang mampu meredakan stres yang terbeban di dalam otak fikiran. Berenang juga mampu melatih seseorang menjadi lebih tenang. Apabila seseorang pandai berenang, mereka tidak mudah panik apabila berdepan dengan situasi yang mencemaskan. Mereka akan berfikir secara lebih rasional dan tahu tindakan yang patut diambil apabila berlakunya kecemasan.

Saya akan cuba kekalkan aktiviti berenang sekurang-kurangnnya seminggu sekali. Saya akan kekalkan gaya hidup sihat untuk kesihatan yang kekal terjamin. Insya-Allah.




Friday 11 September 2015

Kadbod Polis Setia Menjalankan Tugas!

Di sana-sini terdapat banyak pegawai-pegawai polis yang berdiri tegak di kedai-kedai atau di pusat-pusat membeli-belah menjalankan tugas menjaga keamanan negara.

Saya pernah berasa terkejut apabila terasa diri saya diperhatikan. Apabila saya menoleh untuk mendapatkan kepastian, barulah saya sedar bahawa hanya sebuah kadbod pegawai polis sahaja yang berada di situ! Sungguh mengejutkan!

Mungkin kamu juga pernah melihat kadbod-kadbod ini di mana-mana. Kabod ini disediakan untuk mengingatkan orang-ramai bahawa mencuri adalah satu kesalahan!


Hari Mengundi!

Hari ini adalah hari mengundi bagi rakyat Singapura.

Ramai orang pergi mengundi di kawasan undi masing-masing. Namun di kawasan undi saya, kelihatan lengang sahaja. Saya tidak perlu beratur dan terus ke meja yang disediakan untuk mengundi. Saya perlu memberikan kad identiti sebagai pengesahan, dibacakan nama saya dan diberikan kertas untuk dipangkah. Saya menuju ke tempat yang disediakan untuk memangkah dan memasukkan kertas itu ke dalam kotak yang disediakan. Mudah dan ringkas! Masa yang diambil untuk mengundi sekurang-kurangnya 2 minit! Pegawai-pegawai yang bertugas sungguh cekap!


Pada pendapat saya, kita harus berfikir dengan matang untuk memilih calon yang dapat memerintah negeri dengan adil dan bijaksana. Para calon selalunya suka memburuk-burukkan orang lain. Mereka juga suka mengaibkan lawan mereka. Pada pendapat saya, orang yang suka menjatuhkan aib orang lain dan memburuk-burukkan orang lain adalah perbuatan yang tidak baik. Mereka juga tidak layak meneraju negara. 

Jika saya menjadi calon, saya akan pastikan saya akan mendengar rintihan rakyat dengan teliti. Saya akan pastikan rintihan-rintihan rakyat diberi sepenuh perhatian dan selesaikan masalah yang ada. Saya akan berusaha dengan gigih untuk memajukan negara dan memastikan rakyat hidup selesa dan mewah di negeri yang tercinta! Macam betul sahaja! Hehe...

Saksikan video lama yang menggalakkan rakyat mengundi! Hehe...


Wednesday 9 September 2015

Kek Brownies Lagi!

Bulan September adalah bulan sambutan Hari Guru, hari lahir anak-anak saya dan bapa saya. Kegemaran saya adalah membuat kek brownies kerana sangat mudah untuk disediakan.


Semasa sambutan Hari Guru pada 3 September yang lalu, saya membawa kek brownies untuk menjamu peljar-pelajar saya. Saya juga menyediakan kek brownies untuk anak bongsu saya yang menyambut hari lahir pada hari itu untuk dikongsi bersama rakan-rakannya di sekolah.


Saya juga membuat kek brownies untuk anak sulung saya pada hari ini. Dia membawanya ke tempat kerja untuk dikongsi bersama rakan-rakan sekerjanya.


Mungkin saya akan membuat kek brownies lagi untuk bapa saya yang akan menyambut hari lahirnya yang ke 73 pada 29 September ini.

Nampaknya, saya dan kek brownies tidak dapat dipisahkan!



Menonton Cerita- 'Inside Out'

Pada awal tahun ini, saya mendapat 4 tiket percuma untuk menonton wayang di 'Shaw Theaters'. Namun tidak ada cerita yang sesuai untuk ditonton. Oleh itu apabila cerita 'Inside Out' dikeluarkan, saya tidak sabar untuk menonton cerita ini. Saya menunggu waktu yang sesuai iaitu semasa cuti sekolah untuk menonton cerita ini.



Saya telah membawa anak perempuan saya menonton cerita ini di pawagam pada waktu malam semalam. Sebenarnya saya sangat meminati cerita-cerita animasi. Walaupun saya sudah dewasa dan matang, cerita-cerita animasi seperti 'Up', 'Toy Story', 'Plane', 'Frozen' dan banyak lagi telah berjaya membuat saya menangis semasa menonton di panggung wayang. Terdapat banyak moral yang boleh dijadikan pengajaran. Oleh kerana saya seorang yang sensitif, perasaan saya mudah terusik.



Cerita 'Inside Out' ini mengenai seorang anak gadis yang sangat tertekan apabila berpindah ke rumah baharu. Suasana yang baharu, sekolah yang baharu dan kawan-kawan baharu, membuatnya sukar untuk menyesuaikan diri sendiri. Perasaannya yang bercampur-aduk membuatnya berfikiran negatif.



Perasaan marah, sedih, risau dan gembira memang tidak dapat dipisahkan di dalam kehidupan kita. Cerita ini menggambarkan setiap orang mempunyai perasaan suka dan duka. Kita tidak dapat melupakan masa-masa lampau kita. Kita akan sentiasa terkenang saat-saat yang indah dan juga saat-saat yang duka. Telah menjadi lumrah manusia untuk mempunyai perasaan. Tidak salah jika kita menangis jika kita berasa sedih. Kita juga digalakkan meluahkan perasaan kepada keluarga kita jika kita mempunyai masalah. Melarikan diri daripada kenyataan tidak dapat menyelesaikan segala masalah. Kita harus sentiasa berfikiran positif dan berfikir dengan matang untuk menghadapi kehidupan sehari-hari.


Tuesday 8 September 2015

Bahagian 2: Berbasikal Di Pulau Ubin

Matahari memancarkan sinarnya ke bumi. Suasana pada pukul 11.30 pagi itu sangat terik. Peluh keringat membasahi diri. Sebaik sahaja kami menjejak Pulau Ubin, kami terus mengambil gambar bersama-sama keluarga. Sungguh seronok bergaya di hadapan telefon bimbit!



Setelah puas bergambar, kami ke kedai basikal untuk menyewa basikal. Harga sewa bagi sebuah basikal mengikut jenis-jenis basikal. Ada yang berharga $6, $8 dan $10 untuk disewa selama sehari. Pada pendapat saya, harganya sangat berpatutan.

Tanpa membuang masa, kami menjelajah Pulau Ubin dengan berbasikal. Sungguh seronok berbasikal bersama keluarga. Bukan sahaja kita dapat melihat keindahan alam bersama-sama, malah kita dapat merapatkan lagi hubungan keluarga.


Jalan menuju ke 'Chek Jawa Wetlands' tidaklah rata. Kita harus berhati-hati semasa berbasikal di sini. Terdapat banyak papan tanda yang memberi amaran kepada pengunjung supaya berhati-hati semasa mendaki atau turun ke kawasan yang curam.


Semasa di kawasan 'Chek Jawa Wetlands', kami terserempak dengan beberapa ekor babi hutan yang berkeliaran bebas mencari makanan. Kami bersyukur kerana tidak diganggu oleh babi-babi hutan itu.