Pada awal tahun ini, saya mendapat 4 tiket percuma untuk menonton wayang di 'Shaw Theaters'. Namun tidak ada cerita yang sesuai untuk ditonton. Oleh itu apabila cerita 'Inside Out' dikeluarkan, saya tidak sabar untuk menonton cerita ini. Saya menunggu waktu yang sesuai iaitu semasa cuti sekolah untuk menonton cerita ini.
Saya telah membawa anak perempuan saya menonton cerita ini di pawagam pada waktu malam semalam. Sebenarnya saya sangat meminati cerita-cerita animasi. Walaupun saya sudah dewasa dan matang, cerita-cerita animasi seperti 'Up', 'Toy Story', 'Plane', 'Frozen' dan banyak lagi telah berjaya membuat saya menangis semasa menonton di panggung wayang. Terdapat banyak moral yang boleh dijadikan pengajaran. Oleh kerana saya seorang yang sensitif, perasaan saya mudah terusik.
Cerita 'Inside Out' ini mengenai seorang anak gadis yang sangat tertekan apabila berpindah ke rumah baharu. Suasana yang baharu, sekolah yang baharu dan kawan-kawan baharu, membuatnya sukar untuk menyesuaikan diri sendiri. Perasaannya yang bercampur-aduk membuatnya berfikiran negatif.
Perasaan marah, sedih, risau dan gembira memang tidak dapat dipisahkan di dalam kehidupan kita. Cerita ini menggambarkan setiap orang mempunyai perasaan suka dan duka. Kita tidak dapat melupakan masa-masa lampau kita. Kita akan sentiasa terkenang saat-saat yang indah dan juga saat-saat yang duka. Telah menjadi lumrah manusia untuk mempunyai perasaan. Tidak salah jika kita menangis jika kita berasa sedih. Kita juga digalakkan meluahkan perasaan kepada keluarga kita jika kita mempunyai masalah. Melarikan diri daripada kenyataan tidak dapat menyelesaikan segala masalah. Kita harus sentiasa berfikiran positif dan berfikir dengan matang untuk menghadapi kehidupan sehari-hari.
No comments:
Post a Comment