Saturday, 5 September 2015

Selamat Hari Guru!

Hari Guru disambut lagi dengan meriah di sekolah-sekolah pada 3 September yang lalu. Ramai pelajar-pelajar di sekolah saya yang mengambil bahagian dan cuba menghiburkan para guru masing-masing semasa konsert diadakan. Ada juga pelajar-pelajar yang cuba memberi kejutan kepada guru mereka dengan menjadi hantu-hantu sebelum guru masuk ke bilik darjah pada waktu pagi. (Memang setiap hari pun kelakuan mereka macam hantu.) Hehe…

Ada juga yang membuat lakaran atau lukisan yang cantik di papan tulis untuk memberi kejutan kepada guru-guru mereka. Ramai juga para pelajar yang memberi hadiah-hadiah kepada guru-guru mereka sebagai tanda ucapan terima kasih kerana mengajar mereka. Namun adakah mereka tahu makna di sebalik sambutan Hari Guru. Saya kurang pasti!

Saya berasa sungguh bangga kerana telah dapat memanfaatkan ilmu yang telah saya pelajari dengan mendidik pelajar-pelajar saya.  Pada pendapat saya, seorang pelajar yang berjaya dalam hidup, pasti akan membuat hati guru bertambah ceria.  Segala usaha dan penat-lelah guru selama ini telah menghasilkan seorang individu yang berjaya.


Di sini, saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada guru-guru saya (termasuk para asatizah) yang telah mengajar saya semasa di tadika sehinggalah ke peringkat universiti. Jasa guru-guru saya tidak dapat saya lupakan. Namun saya pasti mereka telah mendapat pahala yang berlipat-ganda kerana memberikan ilmu yang bermanfaat kepada pelajar-pelajar mereka. Insya Allah.

Saya lampirkan sedutan klip 'Thank You' yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar Kelab Info Comm saya. Mereka telah berjaya memanfaatkan ilmu yang dipelajari semasa ko-kokurikular (CCA) dengan menghasilkan video klip ini. Terima kasih!


No comments:

Post a Comment