Monday, 28 September 2015

PSLE hampir tiba!

Peperiksaan PSLE hampir tiba. Pelajar-pelajar diharapkan sedang sibuk mengulangkaji pelajaran. 

Saya juga sedang sibuk menyemak segala tugasan yang diberikan kepada pelajar-pelajar. Saya berharap segala ajaran yang diberikan dapat dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar saya.

Kucing saya yang comel ini juga sibuk mahu menyemak tugasan pelajar-pelajar saya. Alahai...



Saturday, 12 September 2015

Aktiviti Berenang Selama Cuti Seminggu!

Alhamdulillah, saya telah beriadah bersama anak-anak saya sepanjang cuti seminggu bulan September ini. Bermula pada hari Ahad yang lalu sehinggalah hari ini, saya telah berenang bersama anak-anak saya. 


Senaman renang adalah suatu perkara yang mudah. Malah banyak faedah-faedah yang dapat kita raih dengan berenang. Saya bukan sahaja beriadah bersama keluarga dan mengeratkan hubungan keluarga. Malah akiviti renang ini dapat menurunkan berat badan, menguatkan jantung, meningkatkan stamina, meningkatkan pengaliran oksigen di dalam badan dan otak. Berenang juga boleh dijadikan sebagai terapi tubuh daripada penyakit tulang belakang.

Saya pernah terbaca di sebuah artikel yang mengatakan berenang mampu meredakan stres yang terbeban di dalam otak fikiran. Berenang juga mampu melatih seseorang menjadi lebih tenang. Apabila seseorang pandai berenang, mereka tidak mudah panik apabila berdepan dengan situasi yang mencemaskan. Mereka akan berfikir secara lebih rasional dan tahu tindakan yang patut diambil apabila berlakunya kecemasan.

Saya akan cuba kekalkan aktiviti berenang sekurang-kurangnnya seminggu sekali. Saya akan kekalkan gaya hidup sihat untuk kesihatan yang kekal terjamin. Insya-Allah.




Friday, 11 September 2015

Kadbod Polis Setia Menjalankan Tugas!

Di sana-sini terdapat banyak pegawai-pegawai polis yang berdiri tegak di kedai-kedai atau di pusat-pusat membeli-belah menjalankan tugas menjaga keamanan negara.

Saya pernah berasa terkejut apabila terasa diri saya diperhatikan. Apabila saya menoleh untuk mendapatkan kepastian, barulah saya sedar bahawa hanya sebuah kadbod pegawai polis sahaja yang berada di situ! Sungguh mengejutkan!

Mungkin kamu juga pernah melihat kadbod-kadbod ini di mana-mana. Kabod ini disediakan untuk mengingatkan orang-ramai bahawa mencuri adalah satu kesalahan!


Hari Mengundi!

Hari ini adalah hari mengundi bagi rakyat Singapura.

Ramai orang pergi mengundi di kawasan undi masing-masing. Namun di kawasan undi saya, kelihatan lengang sahaja. Saya tidak perlu beratur dan terus ke meja yang disediakan untuk mengundi. Saya perlu memberikan kad identiti sebagai pengesahan, dibacakan nama saya dan diberikan kertas untuk dipangkah. Saya menuju ke tempat yang disediakan untuk memangkah dan memasukkan kertas itu ke dalam kotak yang disediakan. Mudah dan ringkas! Masa yang diambil untuk mengundi sekurang-kurangnya 2 minit! Pegawai-pegawai yang bertugas sungguh cekap!


Pada pendapat saya, kita harus berfikir dengan matang untuk memilih calon yang dapat memerintah negeri dengan adil dan bijaksana. Para calon selalunya suka memburuk-burukkan orang lain. Mereka juga suka mengaibkan lawan mereka. Pada pendapat saya, orang yang suka menjatuhkan aib orang lain dan memburuk-burukkan orang lain adalah perbuatan yang tidak baik. Mereka juga tidak layak meneraju negara. 

Jika saya menjadi calon, saya akan pastikan saya akan mendengar rintihan rakyat dengan teliti. Saya akan pastikan rintihan-rintihan rakyat diberi sepenuh perhatian dan selesaikan masalah yang ada. Saya akan berusaha dengan gigih untuk memajukan negara dan memastikan rakyat hidup selesa dan mewah di negeri yang tercinta! Macam betul sahaja! Hehe...

Saksikan video lama yang menggalakkan rakyat mengundi! Hehe...


Wednesday, 9 September 2015

Kek Brownies Lagi!

Bulan September adalah bulan sambutan Hari Guru, hari lahir anak-anak saya dan bapa saya. Kegemaran saya adalah membuat kek brownies kerana sangat mudah untuk disediakan.


Semasa sambutan Hari Guru pada 3 September yang lalu, saya membawa kek brownies untuk menjamu peljar-pelajar saya. Saya juga menyediakan kek brownies untuk anak bongsu saya yang menyambut hari lahir pada hari itu untuk dikongsi bersama rakan-rakannya di sekolah.


Saya juga membuat kek brownies untuk anak sulung saya pada hari ini. Dia membawanya ke tempat kerja untuk dikongsi bersama rakan-rakan sekerjanya.


Mungkin saya akan membuat kek brownies lagi untuk bapa saya yang akan menyambut hari lahirnya yang ke 73 pada 29 September ini.

Nampaknya, saya dan kek brownies tidak dapat dipisahkan!



Menonton Cerita- 'Inside Out'

Pada awal tahun ini, saya mendapat 4 tiket percuma untuk menonton wayang di 'Shaw Theaters'. Namun tidak ada cerita yang sesuai untuk ditonton. Oleh itu apabila cerita 'Inside Out' dikeluarkan, saya tidak sabar untuk menonton cerita ini. Saya menunggu waktu yang sesuai iaitu semasa cuti sekolah untuk menonton cerita ini.



Saya telah membawa anak perempuan saya menonton cerita ini di pawagam pada waktu malam semalam. Sebenarnya saya sangat meminati cerita-cerita animasi. Walaupun saya sudah dewasa dan matang, cerita-cerita animasi seperti 'Up', 'Toy Story', 'Plane', 'Frozen' dan banyak lagi telah berjaya membuat saya menangis semasa menonton di panggung wayang. Terdapat banyak moral yang boleh dijadikan pengajaran. Oleh kerana saya seorang yang sensitif, perasaan saya mudah terusik.



Cerita 'Inside Out' ini mengenai seorang anak gadis yang sangat tertekan apabila berpindah ke rumah baharu. Suasana yang baharu, sekolah yang baharu dan kawan-kawan baharu, membuatnya sukar untuk menyesuaikan diri sendiri. Perasaannya yang bercampur-aduk membuatnya berfikiran negatif.



Perasaan marah, sedih, risau dan gembira memang tidak dapat dipisahkan di dalam kehidupan kita. Cerita ini menggambarkan setiap orang mempunyai perasaan suka dan duka. Kita tidak dapat melupakan masa-masa lampau kita. Kita akan sentiasa terkenang saat-saat yang indah dan juga saat-saat yang duka. Telah menjadi lumrah manusia untuk mempunyai perasaan. Tidak salah jika kita menangis jika kita berasa sedih. Kita juga digalakkan meluahkan perasaan kepada keluarga kita jika kita mempunyai masalah. Melarikan diri daripada kenyataan tidak dapat menyelesaikan segala masalah. Kita harus sentiasa berfikiran positif dan berfikir dengan matang untuk menghadapi kehidupan sehari-hari.


Tuesday, 8 September 2015

Bahagian 2: Berbasikal Di Pulau Ubin

Matahari memancarkan sinarnya ke bumi. Suasana pada pukul 11.30 pagi itu sangat terik. Peluh keringat membasahi diri. Sebaik sahaja kami menjejak Pulau Ubin, kami terus mengambil gambar bersama-sama keluarga. Sungguh seronok bergaya di hadapan telefon bimbit!



Setelah puas bergambar, kami ke kedai basikal untuk menyewa basikal. Harga sewa bagi sebuah basikal mengikut jenis-jenis basikal. Ada yang berharga $6, $8 dan $10 untuk disewa selama sehari. Pada pendapat saya, harganya sangat berpatutan.

Tanpa membuang masa, kami menjelajah Pulau Ubin dengan berbasikal. Sungguh seronok berbasikal bersama keluarga. Bukan sahaja kita dapat melihat keindahan alam bersama-sama, malah kita dapat merapatkan lagi hubungan keluarga.


Jalan menuju ke 'Chek Jawa Wetlands' tidaklah rata. Kita harus berhati-hati semasa berbasikal di sini. Terdapat banyak papan tanda yang memberi amaran kepada pengunjung supaya berhati-hati semasa mendaki atau turun ke kawasan yang curam.


Semasa di kawasan 'Chek Jawa Wetlands', kami terserempak dengan beberapa ekor babi hutan yang berkeliaran bebas mencari makanan. Kami bersyukur kerana tidak diganggu oleh babi-babi hutan itu.




Monday, 7 September 2015

Bahagian 1: Menuju Ke Pulau Ubin

Akhirnya terlaksana juga impian untuk berbasikal bersama keluraga hari ini.

Kami sekeluarga telah ke Pulau Ubin untuk berbasikal dan menjelahi pulau itu. Cuaca pada pagi tadi sangat cerah. Amat sesuai untuk berkelah atau beriadah bersama keluarga.

Kami menaiki bot dari jeti Changi. Bayarannya tidak mahal. Hanya tiga dolar seorang. Setiap bot hanya dibenarkan membawa 12 orang penumpang sahaja.

Sungguh seronok menaiki bumbot kecil yang dilambung ombak. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Suasana di sekeliling sungguh segar dan sejuk mata memandang. Sesekali, kita harus merehatkan minda dan menikmati alam yang menghijau.


Sunday, 6 September 2015

Malas Bersenam?!

Sudah lama saya tidak berbasikal, berenang dan berlari-lari anak. Kali terakhir saya berbasikal ialah pada bulan Jun yang lalu. Semenjak tibanya bulan Ramadhan sehinggalah ke bulan Zulkaedah, saya telah merehatkan diri saya dengan jayanya.

Saya dapati badan saya semakin berisi. Ini, tidak boleh jadi! Saya harus lakukan sesuatu! Namun, amat sukar untuk memulakan aktiviti bersenam. Perasaan malas telah menguasai diri saya. M.A.L.A.S!!!

Namun, pada hari ini, saya gagahi diri saya untuk melawan perasaaan MALAS itu. Saya mulakan dengan aktiviti berenang. Kolam renang ada di hadapan rumah. Jangan MALAS! Berkali-kali saya menasihatkan diri sendiri. Masa tidak menunggu kita! Kita yang harus mengejar masa!

Namun setelah berenang tidak sampai tiga puluh minit, saya sudah keletihan. Saya dapati aktiviti berenang tidak menyeronokkan. Setiap kali sampai di hadapan kolam renang, saya akan menilik jam di telefon bimbit saya. Baru berenang sepuluh minit saja! Ayuh, berenang lagi! bisik hati saya. Akhirnya setelah tiga puluh minit berlalu, saya berhenti berenang.

Dalam hati berkata, tidak mengapa, esok masih cuti sekolah! Boleh sambung berenang esok. Haha...

Begitulah kalau perasaan MALAS menguasai diri kita! Setiap apa yang ingin dilakukan tidak akan menjadi! Saya harus melawan perasaan MALAS ini. Saya harap tulisan ini akan mengingatkan saya supaya Jangan Menjadi MALAS! Kelak, saya yang rugi!




Saturday, 5 September 2015

Selamat Hari Guru!

Hari Guru disambut lagi dengan meriah di sekolah-sekolah pada 3 September yang lalu. Ramai pelajar-pelajar di sekolah saya yang mengambil bahagian dan cuba menghiburkan para guru masing-masing semasa konsert diadakan. Ada juga pelajar-pelajar yang cuba memberi kejutan kepada guru mereka dengan menjadi hantu-hantu sebelum guru masuk ke bilik darjah pada waktu pagi. (Memang setiap hari pun kelakuan mereka macam hantu.) Hehe…

Ada juga yang membuat lakaran atau lukisan yang cantik di papan tulis untuk memberi kejutan kepada guru-guru mereka. Ramai juga para pelajar yang memberi hadiah-hadiah kepada guru-guru mereka sebagai tanda ucapan terima kasih kerana mengajar mereka. Namun adakah mereka tahu makna di sebalik sambutan Hari Guru. Saya kurang pasti!

Saya berasa sungguh bangga kerana telah dapat memanfaatkan ilmu yang telah saya pelajari dengan mendidik pelajar-pelajar saya.  Pada pendapat saya, seorang pelajar yang berjaya dalam hidup, pasti akan membuat hati guru bertambah ceria.  Segala usaha dan penat-lelah guru selama ini telah menghasilkan seorang individu yang berjaya.


Di sini, saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada guru-guru saya (termasuk para asatizah) yang telah mengajar saya semasa di tadika sehinggalah ke peringkat universiti. Jasa guru-guru saya tidak dapat saya lupakan. Namun saya pasti mereka telah mendapat pahala yang berlipat-ganda kerana memberikan ilmu yang bermanfaat kepada pelajar-pelajar mereka. Insya Allah.

Saya lampirkan sedutan klip 'Thank You' yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar Kelab Info Comm saya. Mereka telah berjaya memanfaatkan ilmu yang dipelajari semasa ko-kokurikular (CCA) dengan menghasilkan video klip ini. Terima kasih!